Thursday, November 10, 2011

Teh Pengaruh, semakin diteguk semakin diingati


Dia diingati meskipun tidak berjawatan. Dia pula diingati kerana ada jawatan. Hakikat kematian menunjukkan, ingatan itu berpanjangan atau separuh jalan.


Teh Pengaruh, semakin diteguk semakin diingati
Oleh Zamri Mohamad

Kami sudah berjiran hampir dua tahun, tetapi jarang sekali dapat berbual lama. Kebetulan, ia adalah cuti umum. Saya melihat dia duduk di hadapan rumah seorang diri.

Lambaian tangan saya disambut senyuman manis. Dia memanggil saya dengan bahasa tanganya. Ini pertama kali saya ke rumahnya selepas dua tahun di sini.

Dia  mempelawa seorang saya  menikmati segelas air suam yang dihidangkan. Saya  yang datang sebagai tamu di rumahnya pada petang itu berasa sedikit kekok dan janggal dengan layanan yang diberi.

Apakah tetamu dihidangkan dengan segelas air suam sahaja?

Dia dapat melihat kejanggalan yang terpamer jelas pada wajah dan gerak tubuh saya.

Beliau senyum sahaja, “Jemputlah minum air itu,” pelawanya tanpa mempedulikan respon saya.

“Mahu air teh, boleh saya sediakan?” sambil melihat saya meminum hampir separuh gelas air suam.

Saya mengangguk, “Boleh sahaja,” katanya.

Dibuka pek yang mengandungi dua belas uncang teh. Dimasukkan satu uncang ke dalam cawan tetamunya. Air panas dicurah perlahan. Bau teh dan tekstur warnanya kelihatan jelas. Saya sudah tidak sabar menikmati teh yang dihidangkan.

“Silakan,” dia mempelawa saya minum bersama.

Sekali lagi saya itu berasa aneh dengan sikap jiran ini. Dia mempelawa minum teh, tetapi tidak dimasukkan sesudu gula sebagai pemanis. Mungkin dia sangka tetamunya menghidap penyakit kencing manis. Mungkin kerana itu dia mempelawa beliau minum air suam dan teh tanpa gula.

“Mahu gula?” tanya jiran saya itu.

“Ya, sesudu gula mencukupi,” balas saya, “Aduh, barulah terasa enak hidangan teh ini,” kata saya sambil menghirup perlahan-lahan.

“Jika mahu rasa enak, campurlah sedikit susu cair. Ia tidak manis tetapi teh susu cair lebih pekat tanpa rasa manis keterlaluan,” pelawanya.

Jawab saya segera, “Ya, benar. Itulah resipi di warung-warung kopi,” katanya sambil disuakan cawan untuk diisi sedikit susu cair.

Selesai minum teh, kami kembali berbincang, lama berjiran, jarang kami bertemu muka. Makin lama makin dilupai jika tidak bertegur sapa.

“Bagaimana jika mudah kita diingati?” saya bertanya apabila mengenangkan jika dia berpindah dan saya bertemu jiran baru pula selepas ini.

Dia menjawab dengan bertanya soalan, “Saya pelawa tetamu saya sekadar air suam, kemudian teh tanpa gula. Kemudian saya isikan gula dan sedikit susu cair. Apa perasaan saudari?”

Saya menjawab, “Sudah pasti semakin lama rasanya semakin sedap. Mula-mula tawar, kemudian manis sedikit dan rasa lemak susu cairnya,” tangan kanan masih memegang cawan yang berisi.

“Jiranku, begitulah diri kita akan diingati,” kata wanita itu.

Saya tidak dapat memahami, “Bagaimana?”

“Ingatan seseorang datang dari pelbagai sumber, apabila ia diadun seimbang semua sumber-sumber itu, maka semakin kuat dan matanglah dan makin mendalam ingat itu. Ia tidak berdiri sendiri tanpa unsur-unsur lain yang datang melengkapi. Ingatan kita pada seseorang  yang kosong isinya, rasanya samalah seperti air suam tadi. Ingatan yang matang dan mantap isinya, samalah seperti secawan teh lengkap segala macam isinya,” jawanya panjang lebar.

Saya  bertanya dalam nada jenaka, “Dari mana datangnya gula dan susu yang memekatkan lagi adunan teh ingatan?”

Dia  mengeluarkan sekeping kertas dilakarkan sebuah imej, sama seperti gelas. Dibahagikan isi gelas itu kepada beberapa bahagian.

Kemudian dia  memberi pesanan penting, “Ketahuilah saudaraku, ingatan kita kepada seseorang itu berkembang kerana adanya mana-mana tujuh ciri ini.” Sambil mengetuk mata pen pada lakaranya,




Wanita itu menghirup sedikit air di gelasnya dan memandang saya, “Masih ingat lagi nama guru di sekolah?”

Segera saya mengiyakan, “Sudah pasti, meskipun sudah 21 tahun saya meninggalkan sekolah. Namanya Cikgu Rejab, guru yang mengajar kami subjek sejarah.”

“Mengapa kamu mengingati namanya sehingga sekarang?” soal wanita itu

Balas saya, “Saya mengingatinya kerana dia menjadikan saya teruja dengan subjek sejarah yang saya sangka susah dihadam fikiran. Malah saya masih ingat formula mengingati tarikh peristiwa yang diajarnya.”

“Bukankah kerana pengetahuanya menjadikan dia diingati sehingga sekarang?” soalnya lagi.

Saya terdiam.

Wanita itu mengisi cawan saya yang sudah kosong, dia memohon izin, “Bolehkah saya bertanya lagi?”

Saya mengangguk.

“Masih ingat lagi siapakah orang pertama yang menjejaki bulan?”

“Mudah sahaja. Sudah tentu Neil Armstrong!”

“Masih ingat lagi siapakah orang pertama yang mencipta telefon?”

“Alexander Graham Bell.”

“Masih ingat lagi siapakah Ibnu Sina?”

“Dia merupakan tokoh perubatan Islam dikenali sebagai sebagai Avicenna di Eropah. Buku perubatan beliau, al-Qanun Fit- Tibb menjadi rujukan.

“Bagaimana kamu dapat mengingati semua ini?”

“Sudah tentu kerana kejayaan mereka,” yakin jawapan saya berikan.

Wanita itu mengangguk menunjukkan perkataan pengetahuan dan kejayaan pada lakaran. Kemudian dia menunjukkan kelima-lima jarinya, maksudnya ada lima lagi perkara tidak dihuraikan.

“Jiranku, dalam kehidupan ini kita akan bertemu dengan orang-orang yang mempunyai ciri-ciri ini. Itu baru dua, belum selebihnya. Lihat dan renungkan. Pelajari dan ambil sebagai pelengkap. Mudah-mudahan dalam diri berkembang menjadi pemudah cara hidup kita dan orang lain.,” jawabnya dengan senyuman.

Sebaris senyuman dirinya  yang menunjukkan keyakinan bahawa saya  dapat lakukan.

Belum lama senyuman itu di bibir, cepat-cepat dia menyambung, “Apabila kita diingati, itu tandanya kita berpengaruh juga.”



Prinsip 

Manusia diingati kerana tujuh perkara. Diingati kerana ilmu pengetahuan, rekod kejayaan dikecapinya, pengalaman terdahulu, kebolehan yang mencipta teruja, rangkaian yang dikenali, karakternya yang magnetik dan gerak hati yang mengatakan, “Ada sesuatu yang menarik tentang dirinya.”

No comments:

Post a Comment