Thursday, November 10, 2011

Tip Diingati | Tuk! Tuk! Abang Bisu Bercakap


Cukup serba serbi tidak bermaksud dapat melakukan semua benda. Antaranya cukup normal bagi menyentuh hati manusia.


Tuk! Tuk! Abang Bisu Bercakap
Oleh Zamri Mohamad

Kami dibesarkan di rumah anak yatim. Apabila disebut yatim, ada yang menyebut kami tidak ada salah seorang, sama ada ibu atau pun bapa. Jika yatim piatu maka kami kehilangan kedua-duanya.

Tetapi orang di luar tidak tahu bahawa mereka di sini pun masih ada ibu dan bapa. Mereka ditinggalkan di rumah ini kerana ibu bapa tidak dapat menampung kehidupan anak-anak.

Selalu orang berkata, “Si miskin anaknya ramai, si kaya anaknya itulah yang satu.”

Pemilik rumah ini dipanggil Ummi. Kerap kali Ummi berkata, “Kita miskin ketika kecil kerana Allah akan memberi kekayaan apabila kita besar. Tetapi harus berusaha dan sabar.”

Ummi menjadikan rumahnya sendiri sebagai rumah tempat kami membesar di situ.

Sedikit biaya sumbangan orang ramai menghidupkan elektrik, menjadikan air terus mengalir dari pili dan terus mengenyangkan perut kami. Biaya yang sama menjadi nyawa pendidikan kami.

Adalanya Ummi mengeluh apabila datangnya sumbangan melimpah-ruah. Bukan kerana Ummi tidak mahukan sumbangan, tetapi yang memberi sumbangan itu tidak tahu apa yang penting bagi sebuah rumah anak yatim.

Apabila orang korporat datang pada bulan Ramadan, mereka datang membelikan kami baju hari raya. Setiap tahun baju hari raya yang sentiasa baru. Cuma adakalanya kami memandang almari melihat baju sekolah berwarna putih yang semakin kuning. Tahun baru tidak bermaksud baju baru kepada kami.

Mujur tidak ada yang gemuk di kalangan kami, maka baju masih boleh dipakai.

Apabila orang korporat datang ke rumah, mereka memberi banyak bekala makanan. Orang korporat menunggu bulan puasa agar kami banjir sumbangan. Kerana terlalu banyak, ia menjadi membazir. Beras hampir berulat kerana lama tidak digunakan.

Stor sudah menjadi gudang beras.

Mungkin inilah sebabnya Ummi selalu berpesan kepada kami, jika mahu membantu, katakanlah, “Bantuan apa yang diperlukan?”

Sekiranya majlis berbuka puasa, makanan di hotel memang enak. Kami tidak membantah, tetapi terlalu banyak makanan yang tidak mesra lidah kecil kami. Lebih banyak yang tidak dimakan dan kemudian menjadi hiasan atas meja makan.

Selepas anak-anak yatim diberi wang raya oleh mereka di atas pentas. Pasa malam yang sama, apabila pulang, anak-anak yang kecil akan mengalah kepada yang besar.

Duit raya mereka diambil semua atau sebahagian.

Tetapi di kalangan abang besar di rumah anak yatim ini, ada seorang yang digeruni baik yang kecil mahu pun yang sebayanya.

Dia dipanggil Abang Bisu.

Ya, benar dia sememangnya bisu. Sejak kecil dia membesar dan sudah belajar sehingga sekolah menengah. Dialah yang mengawal sikap mereka yang tua mengambil duit raya si kecil di rumah anak yatim ini.

Abang Bisu memanggil saya Renek kerana saya adalah yang paling kecil dan muda di rumah itu.

Bukankah dia bisu, bagaimana dia boleh memanggil saya Renek?

Abang Bisu akan meletakkan tangan kanan ke bawah menunjukkan ketinggian paras pinggang sebagai cara dia memanggil saya dari jauh sebelum melambai.

Adakalanya dia berdiri di sisi pokok bunga yang ditanam Ummi, sekali lagi dia meletakkan tangan ke bawah menunjukkan ketinggian pokok bunga yang renek sifatnya itu.

Sehingga saya sudah sekolah menengah dan tinggi pun masih gaya yang sama ditunjukkan apabila memanggil saya.

Saya curiga kepada Abang Bisu, sama ada dia benar-benar bisu atau mendiamkan diri sahaja. Boleh jadi dia sudah terlupa bercakap itu bagaimana.

Antara saya dan Abang Bisu kami ada persamaan, kami suka mengambil gambar. Kepada kami,cerita pada gambar itu lebih penting. Seninya mungkin tidak ada. Kami berdua amatur dan tidak meluangkan masa bagi mendalaminya.

Saya pernah merungut kepadanya, “Kamera kita murah, tidak secantik gambar diambil daripada kamera berharga beribu-ribu. Lihatlah!” tangan saya menunjukkan kamera yang masih menggunakan dua biji bateri..

Saya merungut dengan sifat kamera yang murah itu. Walhal kamera itu dibeli Abang Bisu.

Abang Bisu memberitahu dengan perbuatan yang mudah.

Dia membawa saya keluar rumah. Di luar masih ada kepingan papan dan paku yang masih belum dimasukkan ke stor.

Abang Bisu mula menukul paku di papan menggunakan dua jenis tukul. Satu tukul baru yang keseluruhan dibuat daripada besi, lebih berat dan padat. Manakala satu lagi tukul lama milik mereka. Kepala tukul diperbuat daripada besi, pemegangnya daripada kayu. Kepala tukul sudah longgar dan jika lama digunakan boleh tercabut.

Tuk! Tuk! Tuk!

Sebatang paku dimasukkan ke dalam papan mengikat papan satu lagi bersama. Tukul besi digunakan mengetuk paku ke dalam. Kemudian, paku itu bengkok.

“Lihat! Tersalah sudut, bengkok paku dibuatnya,” kata saya kepadanya.

Dia hanya senyum dan menukar tukul baru kepada tukul buruk. Kali ini sebatang paku lagi diketuk pada papan yang sama.

Tuk! Tuk! Tuk!

Saya menjarakkan diri, takut-takut kepala tukul tercabut dan melayang. Paku yang diketuk terbenam lebih dalam dan kemas di atas papan. Tidak bengkok seperti paku yang pertama tadi.

Abang Bisu meletakkan kedua-dua tukul di atas lantai.

Saya melihat kedua-dua tukul, “Bukan tukul yang memberi hasil yang terbaik, tetapi penukulnya. Paku mungkin bengkok walaupun menggunakan tukul yang mahal. Paku mungkin diketuk kemas meskipun tukul yang digunakan tukul yang murah.

Saya diam sebentar sebelum menyambung kata, “Penukul itu sendiri lebih penting berbanding tukulnya.”

Klik!  Klik! 

Saya tidak mempunyai sekeping pun koleksi ketika sekolah rendah. Ini menjadikan saya berasa rugi kerana memori mengenai sekolah rendah langsung tidak ada.

Mungkin itu sebabnya saya suka mengambil foto apabila menginjak masuk sekolah menengah.

Sekali lagi kamera Abang Bisu saya pinjam. Sesetengah gambar yang menarik, saya hantar ke kedai dan mencetaknya, kemudian disimpan ke dalam album.

Abang Bisu menyelami dunia remaja saya. Setiap kali saya ke sekolah pada waktu pagi. Abang Bisu akan masuk ke bilik dan membelek satu persatu album gambar saya di atas meja.

Selama ini saya tidak terfikir Abang Bisu akan masuk ke bilik di tingkat atas dan membuka album gambar. Saya kira tidak ada apa yang menarik. Tetapi itulah cara Abang Bisu berkomunikasi dengan saya selama hayatnya.

Jika ada satu dua perkara yang kurang senang pada matanya, beliau akan menegur saya tanpa memberitahu dari mana beliau mendapat maklumat.

Abang Bisu akan menulis di atas kertas kecil dan diselitkan dalam poket baju sekolah. Seawal pagi apabila saya di sekolah, baru saya sedar sehelai kertas kecil sudah semalam tidur di dalam poket.

Sekeping nota bertulis ayat, “Motosikal itu harta orang lain.”

Saya menggaru-garu kepala memikirkan motosikal mana yang dimaksudkan. Selepas membelek album gambar, rupa-rupanya Abang Bisu menegur gelagat saya menaiki motosikal orang lain sekadar mahu mengambil foto.

Saya teruja melihat motosikal itu.

Tanpa izin motosikal itu saya sentuh, dapat mengundang amarah penunggangnya jika saya cuai dan tercalar pula. Abang Bisu bimbangkan hal-hal itu.

Diam si Abang Bisu itu bukan tanda tidak peduli, dia rancak bercakap dengan nilai didikan yang tersendiri. Mulutnya diam, fikiran ligat berfikir apa yang terbaik untuk kami.

Kami kerap berkomunikasi melalui gambar dan tulisan yang saya tampal pada dinding.  Dia tahu jika saya sedang hilang semangat. Cukuplah dia membaca poster yang saya hasilkan sendiri di dinding bertulis, “Ayuh! Bangkit sekarang, kamu tidak lemah!”

Ketika saya mula belajar berniaga di jalanan bagi menampung persekolahan selama dua tahun, Abang Bisu tidak memberi respons apabila saya meminta pandanganya.

Dia melihat dari jauh, saya ketika masih terkial-kial berlatih memasukkan air dan mengikat bungkusan air sebagaimana penjual air di tepi jalan lakukan.

Diambilnya plastik bungkusan air daripada tangan saya, diisikan air dari pili dan diikat. Beliau menunjukkan sahaja tanpa bercakap apa-apa. Kemudian dia berlalu, saya belajar dari apa yang saya lihat.

Itulah komunikasi kami.

Sehinggakan saya masuk ke universiti, tingkah lakunya yang teruja mengangkat kotak buku dan barang milik saya dari kereta ke bilik cukup memberitahu dia gembira. Marahnya dia apabila saya mahu mengangkat barang daripada bonet kereta, ditepis tangan yang cuba mengangkat beg dan kotak.

Saya duduk di hujung katil dan memerhatikan.

Siapakah Abang Bisu, adakah dia anak yatim seperti kami?

Abang Bisu adalah anak Ummi. Dia terus dewasa di situ. Selepas Ummi meninggal dunia, Abang Bisu menguruskan rumah anak yatim ini. Abang Bisu masih di rumah yang sama, kami yang sudah dewasa meninggalkan dia yang masih diam di situ.

Tetapi diamnya itulah yang berbekas di hati kami.


Prinsip 

Abang Bisu tidak memaksa dirinya ‘bercakap’ agar diingati. Cukuplah perbuatan yang muncul pada waktu memerlukan sudah memberi kesan mendalam kepada orang lain. Baik berbentuk analogi, tulisan dan perbuatan.

No comments:

Post a Comment