Wednesday, November 9, 2011

Tip Diingati | Lelaki kecil, lelaki besar dan timbang ikhlas


Dia senyum, Dia gembira dan dia memuji, ramuan doa kepada yang diingati

Lelaki kecil, lelaki besar dan timbang ikhlas
Oleh Zamri Mohamad

Dua orang lelaki berbual mengenai niat ikhlas. Seorang lelaki bertubuh kecil dan seorang lagi bertubuh besar.

Kata lelaki bertubuh kecil, "Sekarang ini tujuan jadi pengkarya pun  dipersoalkan."

Bertanya lelaki bertubuh besar, "Mengapa begitu?"

Kata lelaki bertubuh  kecil, "Lihat, mahu jadi pengkarya kemudian mahu dikenali. Mahu dirai-rai dalam majlis. Bina populariti dengan ilmu."

Bertanya lelaki bertubuh  besar, "Maka pengkarya itu tidak ikhlas?"

Balas lelaki bertubuh  kecil, "Ya benar. Bukan sahaja penulis sekarang tidak seikhlas penulis dahulu. Malah dalam hal lain pun sama juga. Hari raya aidil adha lalu, seorang kaya mengorbankan sepuluh ekor lembu. Itu pun tak nampak ikhlasnya. Jika ada gadis mula bertudung, apabila orang puji-puji sudah suka."

Lelaki besar bertubuh  besar menggaru kepala dan diam.

Bertanya lelaki bertubuh kecil, "Kenapa kamu diam?"

Balas lelaki bertubuh  besar, "Ikhlas adalah perbualan yang tidak ada noktah. Kerana jawapan itu antara dia dan tuhan. Kerana mempersoalkan ikhlas, akhirnya orang yang menerima rugi."

Bertanya lelaki bertubuh kecil, "Apa maksud kamu orang lain yang rugi, sedangkan dia seorang sahaja begitu?"

Jawab lelaki bertubuh besar, "Apabila si kaya dipersoalkan niat ikhlasnya, lalu dia tidak mengorbankan sepuluh ekor lembu, berapa ramai orang miskin yang tidak dapat merasa daging korban dan hilang bahagian nikmat mereka?"

Lelaki bertubuh kecil diam.

Jawab lelaki bertubuh besar lagi, "Apabila kerja pengkarya dipersoal niat ikhlasnya, lalu dia berhenti berkarya. Berapa ramai pembaca hilang manfaat yang dapat dimiliki dengan membacanya? Kemudian mereka beralih kepada penulis karya khayal yang membuat mereka seronok tetapi tidak berkembang."

Lelaki bertubuh kecil diam.

Jawab lelaki bertubuh besar lagi, "Apabila si gadis mula bertudung dan dipersoal niat ikhlasnya, lalu gugur terujanya mahu menjadi sebahagian daripada kebaikan. Berapa ramai gadis yang baru mahu bertudung dan mendapat keberanian kerana keberanian wanita itu akan menangguhkan kebaikan? Satu sebabnya kerana kita..."

"Mempersoalkan niat ikhlas yang tidak dapat diukur dengan mata. Menjadi hakim kepada niat, maka jatuhlah hukum tanpa bukti." balas lelaki bertubuh kecil.


Prinsip

Mata tidak dapat mengukur jauh dan dekat kebaikan yang timbul daripada hati. Biarkan kebaikan melimpah ruah daripada orang itu, kerana daripada dia ramai mendapat nikmat. Ingatan orang terhadapnya adalah ingatan kebaikan yang menjadi titis air menghakis batu sikap sebenarnya. Maka menjadi doa dalam diam.

No comments:

Post a Comment