Wednesday, November 9, 2011

Tip Diingati | Kata Mereka Ayah Kami Harimau Jadian


Kata


“Kasih sayang dipamer dalam kebencian menjadikan ia kasih yang diingati.”

Kata mereka, "Ayah kami harimau jadian."
Oleh Zamri Mohamad

Tidak ada sesiapa gemar duduk di sebelahnya.

Wajahnya tidak bengis tetapi perwatakan yang dibawanya cukup berbeza. Jika diceritakan kepada orang, belum tentu orang dapat percaya. Bagaimana seorang lelaki dapat berbeza karakter di dalam dan di luar rumah.

Di rumah dialah ayah yang digeruni anak-anak. Di luar rumah dia disenangi rakan-rakan kerana sikap ramahnya.

Aneh bukan? Tetapi itulah ayah.

Pernah jiran di sebelah rumah datang menziarah rumahnya. Kediamanya adalah rumah pangsa empat tingkat. Mereka menetap hanya sementara waktu. Rumah pangsa itu hanya ada lapan blok sahaja.

Jika pintu rumah dibuka, ada dua buah pintu rumah lagi saling menghadap. Maksudnya, setiap tingkat ada empat keluarga akan mengisi setiap rumah itu.

Tidak ada yang bergelar bujang, melainkan yang berkeluarga. Itu adalah peraturan bagi menetap di rumah pangsa kakitangan kerajaan.

Pada hari itu ayah diziarahi jiran di sebelah rumah. Jiran selalu berasa hairan dengan keadaan rumah ayah.

Bertanya jiran kepada ayah, “Mana anak-anak kamu?”

Jawab ayah, ”Mereka ada di rumah. Tidak ke mana-mana pun.”

Jiran melihat dari ruang tamu, menjeling ke meja makan keluarga dan memerhati laluan ke bilik, tidak ada seorang pun anak yang dimaksudkan ayah.

”Sunyi sahaja keadaan, tidak ada pun,” balas jiran ayah.

Anak-anak ayah ada di rumah. Cuma mereka tidak bermain di ruang tamu, duduk menonton televisyen atau pun berada di dapur mencari makanan bagi mengalas perut pada waktu petang. Semuanya berada di satu tempat. Iaitu di bilik tidur mereka.

 Anak yang sulung selalu merungut, “Ayah garang, jika mahu diminta sesuatu pasti mata tajamnya akan melihat kita. Sehinggakan apa yang kita mahu sudah seperti salah kepada kita memintanya.”

Rungutan anak sulung diiyakan oleh anak kedua, ”Benar kata kamu. Bayangkan, kerana satu mata pelajaran sahaja yang corot dalam ujian, ditariknya bauk  sehingga merah kulit.”

Anak kedua menggosok-gosok bulu yang tumbuh pada pipi di depan telinga apabila mengingatkan kembali amarah ayah.

Si bongsu mengingati cubitan dan rotan si ayah apabila gelas yang dibawanya terketuk di dinding yang memisahkan ruang meja makan dan dapur. Gelas itu sumbing dan tidak dapat digunakan lagi.

Kemudian si bongsu bercerita, ”Ayah marah melihat gelas yang sumbing itu. Terus sahaja ayah datang dan mencubit lengan berkali-kali. Gelas yang sumbing itu terlepas dari tangan kerana menahan cubitan ayah. Bertambah marah ayah melihat gelas yang pecah pula.

Ketiga-tiga adik beradik ini buntu memikirkan kenapa ayah begitu sekali sikapnya. Mereka takut setiap satu perkara yang dilakukan akan mendatangkan amarah ayah lagi. Maka lebih baik mereka menjauhkan diri. Masing-masing mendiamkan diri sahaja dan tidak berbual dengan ayah.

”Rakan-rakan kita tidaklah sebegitu sikap ayah mereka. Mudah diajak berbincang, senang bergurau senda. Dapat berbual dan ketawa. Berbeza jika dibandingkan ayah kita,” si anak sulung mengeluh mengenangkan ruginya mempunyai ayah seperti sekarang.

Dari tahun ke tahun mereka membesar dalam ketakutan. Takut berbuat kesalahan. Mereka menginjak menjadi dewasa dengan perasaan kepada ayah yang berbeza. Ketakutan ketika kecil menjadi sikap tidak peduli ketika dewasa. Akhir sekali tidak peduli bertukar menjadi kejauhan yang menjadikan mereka selesa berdikari hidup sendiri.

Anak sulung sudah bekerja dan mendirikan rumahtangga. Manakala dua lagi masih belum berkahwin.

Seminggu sekali anak yang sulung akan pulang ke rumah. Tidak peduli itu tidaklah bermaksud tidak bertanya khabar kepada keluarga. Tidak peduli dalam fikiran tiga beradik adalah kurang bercerita tentang diri mereka kepada ayah di rumah. Melainkan dengan ibu rancak mereka berbual mesra.

Malam bulan Disember pada satu tahun, tiga beradik masing-masing sudah berusia tiga puluhan menerima berita ayah yang garang sudah tidak jadi garang lagi. Kegarangan ayah hanya akan jadi cerita berbual sesama mereka. Ayah sudah tidak ada lagi.

Malam itu mereka bersama ibu di beranda rumah. Suasana rumah berlima sudah jadi berempat.

Pada malam itu ibu berkongsi rasa kepada anak-anaknya, ”Selepas ini, seorang dirilah sahajalah ibu di rumah,” kata yang terungkap bersama genangan air mata.

Anak yang sulung menggosok-gosok belakang tubuh ibu agar ibunya menenangkan diri. Dia cuba mahu bergurau, ”Ayah dahulukan orangnya pun sunyi sahaja, kurang bercakap. Sama sahajakan?”

Ibunya menggelengkan kepala.

Anak kedua berasa hairan, ”Ayah rancak bercakapkah? Tidak pernah pun kami berbual dengan ayah. Apa yang saya tahu, perkataan paling kerap kami sebut adalah meminta tandatangan pada kad keputusan peperiksaan.”

Si bongsu mengangguk, ”Ayah, ini kad laporan ujian. Cikgu mahukan tandatangan penjaga. Ayah, minggu ini perlu selesai yuran semester, ini senarai pembayaran. Ayah...” satu persatu ayat yang pernah disebut kepada ayah diulang kembali.

Si bongsu melihat cawan putih di atas meja dan teringat kembali peristiwa dimarah ayah kerana gelas sumbing.

Anak sulung memandang ibunya, lama benar dia mahu bertanya, ”Mengapa ayah begitu garang kepada anak-anaknya sendiri? Ayah orang lain kelihatan lebih mesra dengan anak-anak.”

”Ayah kamu harimau jadiankah?  Itu soalan diajukan rakan sekelas apabila saya pernah dimarah oleh ayah kerana lambat keluar dari kereta,” kata si bongsu mengingati kembali peristiwa itu.

Ibu mendiamkan diri, menolak ke tepi naskah akhbar dan gelas kosong di atas meja. Anak-anak yang lain membiarkan ibu menarik nafas panjang dan perlahan-lahan menghembusnya.

Kata ibu, ”Kerana sayang, ayah jadi begitu kepada kamu semua.”

Anak kedua menggelengkan kepala dan bersandar pada kerusi, diinjak sedikit kerusi ke belakang agar ada ruang selesa antara kerusi dan meja, ”Bukankah kasih sayang itu berlembut dengan anak-anak?”

Ibu sudah makin tenang dan melihat anak-anaknya, ”Pernahkah kamu semua melihat kerinduan yang tidak pernah reda apabila kematian tiba?”

Tiga beradik melihat sesama mereka. Mencari jawapan melalui renungan sesama mereka. Hampir tidak ada sehinggalah salah seorangnya bersuara.

”Saya teringat ada seorang rakan di sekolah yang menjadi aneh selepas ayahnya disahkan meninggal dunia selepas menghidap barah pankreas. Dia adalah ketua kelas yang sangat ramah. Setiap pagi ayahnya akan menghantarnya betul-betul di hadapan pintu sekolah. Jika pulang dari sekolah, ayahnya suka menggosok-gosok kepalanya dan mencium dahinya. Saya cemburu,” si bongsu mengeluarkan kembali ceritanya.

Ibu menyambung kata, dia memandang anak yang bongsu, ”Ayah rakan kamu itu mempamerkan kasih sayang dengan caranya dan ayah kamu pun mempamerkan kasih sayang dengan caranya.”

”Maksudnya,” anak sulung sudah teruja mencari jawapan.

”Seawal perkahwinan, ketika kamu yang sulung berusia tiga tahun. Ayah menemani kamu bermain. Ayah kemudian berkata kepada ibu. Betapa dia bimbang jika pergi dalam keadaan anak-anak yang meronta-ronta sedih kerana kasih sayang yang menjadikan rasa tidak rela mengikat hati anak-anaknya,” jawab ibu dengan matanya melihat kerusi malas kegemaran ayah.

Sambung ibu, ”Sehinggalah usia kamu tujuh tahun, ayah mula bersikap tegas sehingga tersembunyi kasih sayangnya kepada kamu. Setiap daripada kamu apabila menginjak usia tujuh tahun menjadi umur kamu melihat sisi ayah yang berbeza. Sedangkan sebelum itu dia masih menjadi rakan permainan kamu.”

”Ayah berbuat begitu agar kita tidak terlalu meratapi pemergian. Harapan ayah jika dia begitu tegas, garang dan senyap sikapnya, anak-anaknya menjadi biasa dengan pemergian yang sunyi kelak kerana itulah bayangan yang mahu diberi ketika dia ada,” kata si anak sulung.

Tiga beradik melihat kerusi malas yang mengikat pandangan ibu. Di sudut itu, kerusi tidak bergerak seperti dahulu, bayangan ayah seakan jelas muncul di situ. Kegarangan ayah adalah tinggalan kasih sayang kepada mereka. Hanya apabila difahami, barulah sikap itu memberi erti kepada mereka.


Prinsip 

Sisi lain yang ditonjolkan oleh orang yang kita kasihi adakalanya menjadikan kita tidak selesa, rasa marah dan berpendapat ia tidak sepatutnya begitu. Mungkin itulah persediaan daripada dirinya kepada  kita apabila sudah mula berjauhan.

No comments:

Post a Comment