Wednesday, November 9, 2011

Tip Diingati | Senyum, cop kekal dalam kenangan


Senyum, cop kekal dalam kenangan

Kata

Hidup dalam kenangan itu, apabila jelas filemnya hidupnya di mata mereka apabila disebut namanya. Si bisu yang menjadi cerita mereka, adalah si bisu bernama senyuman. Si bisu pengikat, pelerai dan pelengkap hidup mereka.

Senyum, cop kekal dalam kenangan







Perjalanan pulang dari Perth ke Malaysia pada jam tujuh pagi menjadikan Hawa tergesa-gesa pada hari itu.

Mujur dengan bantuan Asma, seorang rakyat Malaysia yang bekerja di sana telah menghantarnya seawal pagi.

Malam sebelum itu mereka sibuk mengasingkan daging ayam yang sudah siap diperam ke dalam beberapa buah bekas sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Seminggu lagi, akan berlangsung karnival di tengah bandar Perth. Maka, daging yang diperam ini akan dijadikan sate bagi dijual kepada pengunjung.

Kata Asma, “Menjual dua puluh ribu cucuk sate dalam seminggu adalah tidak mustahil.”

Sate menjadi perbualan akhir mereka berdua di rumahnya sebelum Hawa berangkat pulang.


Di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, sudah berbaris panjang manusia dengan passport di tangan. Mereka mengambil penerbangan pulang yang sama denganya.

Segera Hawa mengeluarkan passport dan memegang erat. Berada di negara orang, passport adalah nyawa. Tambahan lagi, kedatangan pertama kalinya di situ disambut dengan soalan demi soalan yang meresahkan daripada pegawai yang menjadi sempadan antara lapangan terbang dan tanah Perth di luar.

Hawa cuba merangsang emosi yang masih belum tetap dalam hati. Sambil menoleh ke arah pintu masuk melihat sama ada Asma masih ada di sekitar lapangan terbang atau masih berlegar mencari parkir di luar.

Seorang wanita yang berada di baris hadapan hanya mendiamkan diri apabila seorang tua sedang bercerita denganya.

Baris panjang yang beratur mula bergerak ke hadapan. Mereka bergerak dalam keadaan seolah-olah ular dipalu, mengikut susunan barisan yang ditetapkan di situ.

Wanita di hadapan kini benar-benar berada bertentangan Hawa. Lalu Hawa memberi senyuman dan anggukan kecil kepada wanita itu.

Balasan yang diterima, tubuh yang statik, wajah curiga, garis lurus antara bibirnya.

Hawa berasa sejuk subuh bertukar panas hanya kerana respons itu.





Di balai berlepas, masing-masing menunggu pintu dibuka. Mereka melihat isi beg agar tidak ada yang tertinggal sebelum menaiki kapal terbang. Hawa membawa beg berisi hadiah teman-teman di Perth dan meletakkan di sisi kerusi. Sekali lagi, wanita itu duduk di kerusi yang betul-betul bersebelahan Hawa. 

Hawa memberi senyuman.

Balasan yang diterima, tubuh yang statik, wajah curiga, garis lurus antara bibirnya.

Senyuman Hawa tidak hilang, dia bersabar menjaga senyuman itu. Lalu dia mendekati wanita itu, betul-betul hampir mulutnya ke telinga wanita itu, lalu dia berkata, ”Mulakan pagi kamu dengan senyuman.”

Hawa mengangangkat begnya dan beralih tempat. 

”Patutlah kerusi di situ kosong sejak tadi kerusi berbanding kerusi lain. Sarapan mata yang tidak mengenyangkan malah menyakitkan hati,” kata Hawa mengomel seorang diri.

Hawa menutup matanya mengingati satu persatu senyuman pada pagi itu. Kelihatan senyuman perpisahan rakanya, Asma. Muncul senyuman mengalu-alukan si pramugari di pintu masuk kapal terbang. Kemudian senyuman si kecil yang melambai-lambai menunjukkan jari jemarinya yang kecil di kerusi menunggu di hadapan.

Satu persatu senyuman yang diingati.

Apa  terukir di bibir adakalanya menenangkan orang yang melihat. Itulah kehebatan di sebalik senyuman. Ia boleh disifatkan sebagai ketawa kecil dan mempunyai makna yang baik, bergantung kepada rasa hati empunya senyuman itu. Malah Nabi Muhammad melahirkan rasa gembira dan tawanya dengan senyuman.

Nabi Muhammad berkata, betapa pentingnya seorang manusia tidak terlalu membebankan diri dengan segala macam kesukaran dan kepayahan yang sengaja ditimbulkan. 

Direkodkan dalam Sunan Abi Daud, Nabi Muhammad berkata, ”Janganlah terlalu membebani jiwamu dengan segala kesugulan hati, hiburkanlah hati dengan hal-hal ringan dan lucu. Apabila terus dipaksa memikul beban yang berat, ia akan menjadi buta.”

Senyuman adalah cop yang kekal lekat dalam ingatan penerima. Kerana kekalnya senyum, maka ia menjadi modul teras dalam perniagaan. Orang mengingati seluruh wajah bermula dengan senyuman.

Mengapa senyuman begitu berkesan terhadap manusia? Senyuman mempunyai tiga unsur utama yang menjadikan ia begitu bernilai. 

Senyuman adalah gambaran unsur-unsur akal, perasaan dan kemahuan.

Kepentingannya telah membawa kepada perbincangan mendalam oleh golongan ahli fikir dan filosofi awal seperti Locke, Schopenhaur, Spencer, Descrates dan Hartley melalui satu perbincangan dan perdebatan yang mendalam melalui karya-karya penulisan mereka.

Dari sudut kesihatan diri, senyuman merangsang otot-otot wajah dan memberi kesegaran dan ketegangan yang mengurangkan kedut-kedut di wajah, kesihatan tubuh dan jiwa dengan melepaskan tenaga emosi yang berpusat dari dalam.

Tambahan lagi, senyuman adalah tindakan menguasai diri melalui nilai optimisme, bersikap positif dengan membina lingkaran kebahagiaan di sekeliling. Dalam masa yang sama, senyuman memberi getaran yang mengikat rasa hati orang lain terhadap diri dengan nilai kepercayaan.

Nilai positif sebuah senyuman wujud apabila seorang Muslim redha berhadapan dengan keadaan malang untuk menguji iman. Syaitan sedaya upaya menjalankan pujuk rayunya agar manusia sentiasa bermusuhan dan menghilangkan seri wajah seorang mukmin daripada senyuman.

Wajah yang masam, penuh kebengisan tanpa sedikit hiasan di bibir, secara tidak langsung mengaktifkan minda yang negatif. 

Peranan syaitan menjalankan agendanya agar manusia terus menerus bersikap demikian, sebagaimana diperingatkan oleh Allah dalam surah Mujadalah ayat sepuluh.

”Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita. Sedangkan bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah, dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.”

Apabila mempamerkan senyuman yang berkesan, ia turut hadir sama dengan perkataan yang bijak dan berhikmah. 

Dalam sebuah kisah, Ali bin Abi Talib pernah bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih dicintainya. Adakah Fatimah, puterinya atau Ali, suami beliau? 

Dengan senyuman Nabi Muhammad menjawab, ”Fatimah lebih aku cintai dan engkau aku lebih hargai.”

Senyuman juga dikaitkan dengan salam perpisahan. Dalam sejarah nabi dicatatkan peristiwa yang sama. 

Direkodkan oleh Anas Ibn Malik, pada hari Isnin ketika wafatnya Rasulullah, baginda keluar dan memandang mereka yang menunaikan solat Subuh.

Melihat sikap mereka, Rasulullah tersenyum. Mereka yang menyedari berpaling dan menyangka baginda beransur pulih. Dalam suasana gembira mereka diisyaratkan agar meneruskan ibadah mereka. Hakikatnya itulah senyuman perpisahan Rasulullah kepada mereka.

Jendela senyuman membuka tabir hubungan dengan manusia lain di sekitar kita. Ia menguatkan hati dan membina motivasi diri. Perkara kecil sebegini mempunyai manfaat yang besar seperti direkodkan oleh Abu Dzar, berkata Rasulullah, janganlah meremehkan amalan kebaikan, walau sekadar berwajah manis.


Prinsip 

Senyuman yang diingati adalah senyuman yang datang bersama perkataan hikmah dan bijaksana. Senyuman dalam diam juga tetap menjadi kenangan kerana ia memberitahu, ”kamu adalah salah satu keindahan duniaku. Akal, perasaan dan kemahuan jelas kepadamu.”


No comments:

Post a Comment